Sunday, October 12, 2014

Bagaimana Memahami Sesebuah Organisasi

Setiap organisasi pastinya memiliki sejarah penubuhannya. Kenapa ia ditubuh? Bagaimana ia tertubuh? Terkadang timbul juga persoalan, siapa yang menubuhkannya?  Pertanyaan sebegini biasanya ditimbulkan oleh orang yang berada luar dari sesebuah organisasi. Post kali ini, bertujuan untuk menghurai beberapa kaedah memahami organisasi sebagai seorang yang menyertai sesebuah organisasi.


1. Mengetahui dan menghayati matlamat yang ingin dicapai organisasi

Kebiasaannya, setiap organisasi mempunyai matlamat. Kebanyakkan organisasi menonjolkan perkara yang ingin dicapai atau diperolehi melalui perkataan visi, misi dan objektif. Ada juga yang menggunakan istilah matlamat jangka masa pendek dan matlamat jangka masa panjang.

Sebagai seorang yang berada dalam organisasi, adalah amat malang sekiranya perkara ini tidak dihayati dengan baik. Segala kerja buat yang dilakukan akan bersifat peribadi dan tidak berkembang kerana ianya mungkin rutin atau sekadar untuk mendapat perkara tertentu seperti gaji.

2. Memahami perlembagaan dan peraturan dalam organisasi

Setiap organisasi pastinya memiliki perlembagaan yang menjadi dasar bagi organisasi. Sekurang-kurangnya ia mesti mempunyai panduan kerja atau manual yang menjadi rujukan bagi pengurusan atasan atau pekerja bawahan organisasi.

Begitu juga dengan peraturan dalam organisasi. Peraturan disiplin, kewangan dan lain-lain yang menjadi pagar bagi menjaga organisasi dari anasir dan ideologi luar yang tidak sesuai dengan budaya kerja organisasi.

3. Mengenal sejarah, kepimpinan dan sistem-sistem dalam organisasi

Belajar sejarah adalah kaedah yang tepat untuk mengetahui ranjau dan duri yang telah dilalui organisasi. Ia dapat mengingatkan kita terhadap ujian dan kepayahan yang telah dilalui orang-orang lama sebelum kita bertapak di dalamnya. Kepimpinan juga adalah elemen penting yang mesti dikenali.

Pemikiran mereka, akhlak mereka dan keilmuan mereka serta pengalaman mereka yang mencorak organisasi di zaman masing-masing adalah maklumat berharga yang tidak boleh diperoleh dengan pemindahan data pendrive atau bluetooth, apatah lagi dari kursus dan bengkel yang diadakan dari orang luar dari organisasi.

Sistem-sistem yang terdapat organisasi seperti sistem latihan, sistem perhubungan, sistem pendokumentasian, sistem pengurusan dan lain-lain adalah penting untuk difahami dan diketahui bagi menjadi ahli yang baik untuk organisasi.

Allahua'lam.