بسم الله الرحمن الريم
Coretan saya pada kali ini akan menghurai sedikit dari berjuta-juta ilmu yang telah dikaji oleh para ulama' dan dipraktikan dalam gerak kerja Amal Islami di serata dunia. Nukilan ini juga sekadar ringkasan dari himpunan kertas kerja yang telah dibuat oleh pelbagai ilmuan.
Konsep intima' merupakan kombinasi sinergi (memerlukan dua elemen yang mesti bersifat lengkap-melengkapi) yang amat berkait dengan konsep bai'ah. Tiada intima' tanpa adanya bai'ah dan begitulah juga sebaliknya.
Secara ringkasnya, Intima’ diterjemahkan dengan makna keterlibatan. Mengikut beberapa aktivis amal islami, intima' disyarahkan sebagai penglibatan seorang amilin dalam organisasi yang telah beliau bai'ahkan.
Ada juga yang mengistilahkan intima' sebagai larutnya seseorang yang telah berbai'ah itu dalam perjuangan Islam secara jamaie (berkumpulan). Namun, saya lebih cenderung kepada menyebut intima' ialah keberadaan dan keterlibatan seseorang yang telah berbai'ah dalam perjuangan Islam secara faham dan bersungguh-sungguh.
Para ulama' telah membahagikan intima' kepada beberapa bahagian.
Pertama: Intima’usy Syakhsi = iaitu keterlibatan dalam perjuangan tersebut kerana tokohnya atau individu-individu
yang terlibat dengan perjuangan tersebut. Kebiasaannya mereka yang mengamalkan intima' ini adalah atas dasar minat kepada tokoh dan figur
perjuangan tersebut. Contohnya, mereka terlibat kerana ibu bapa atau wakil rakyat atau kawan-kawan yang mengikuti perjuangan tersebut. Intima' ini adalah intima' yang rapuh. Mereka yang mengamalkan intima' ini amat besar risikonya untuk kecundang kerana tidak ada kefahaman yang kukuh tentang perjuangan tersebut.
Kedua: Intima’ul Maslahi =
Keterlibatan dalam perjuangan tersebut kerana mempunyai kepentingan tertentu yang
hendak dimiliki. Contohnya, jika mendaftar menjadi ahli dalam platform perjuangan tersebut, mereka akan mendapat duit atau mereka inginkan jawatan atau mereka akan dapat memegang share profit syarikat dalam platform tersebut atau mereka mendapat apa sahaja jenis habuan duniawi (termasuklah diskaun atas sesuatu pembelian). Ini adalah intima' yang korup kerana mereka yang seperti ini, hanya bersifat ananiyyah (individualistik) dan kemungkinan besar boleh mengabaikan amanah atau tanggungjawab dalam perjuangan ketika diuji dengan harta duniawi.
Ketiga: Intima’ul
‘Afawi =
Keterlibatan kerana kecenderungan terhadap
elemen-elemen yang disukai dalam organisasi atau perjuangan tersebut. Contohnya, trend fesyen yang dipakai kebanyakkan ahlinya atau gaya hidup atau jenis pemikiran (suka benda-benda berunsur islamik atau sebaliknya) dan sebagainya. Intima' ini adalah intima' yang sangat terpesong dari landasan perjuangan. Ini kerana kecenderungan manusia boleh berubah mengikut peredaran zaman dan kesesuaian tempat serta jenis manusia.
Sebagai contoh, si A minat kepada organisasi Z kerana majoriti pengikutnya memakai kopiah. Satu hari si A pergi ke KLIA dan terserempak dengan si B yang merupakan antara pimpinan organisasi Z sedang memakai songkok. Si A amat terkejut dan lantas ketika pulang ke rumah, beliau bertekad untuk keluar dari organisasi Z.
Keempat: Intima’ul
Irtijali =
Keterlibatan dalam organisasi tersebut secara spontan. Mereka yang berintima' dengan intima' ini kebanyakkannya tidak tahu kenapa dan mengapa mereka berada dalam organisasi tersebut. Setelah habis zaman kanak-kanak barulah mereka menyedari bahawa meraka telah ada dalam organisasi tersebut. Kebanyakkan orang yang berintima' dengan spontan ini berlaku kerana lahir
dalam keluarga yang terlibat dengan organisasi tersebut atau telah didoktrinkan dengan organisasi tersebut sejak kecil.
Keterlibatan ini adalah keterlibatan yang boleh digoncang kerana ianya bersifat subjektif dan boleh berubah-ubah mengikut keadaan dan situasi. Seharusnya mereka yang terlibat dengan keterlibatan seperti ini perlu melalui proses pentarbiyahan supaya intima' mereka dapat dipulihkan ke landasan yang sebenar. Insyaallah.
Kelima: Intima’ul
‘Aqidi =
Keterlibatan ini adalah keterlibatan yang benar dan sahih. Iaitu keterlibatan kerana aqidah yang betul dan kukuh serta yakin dalam perjuangan yang didokongnya untuk memperjuangkan Islam hanya kerana Allah SWT berlandaskan hukum-hukum Allah (Al-Quran), sunnah Rasulullah, ijma' ulama' dan qias serta bertepatan dengan syara' mengikut waqi’ semasa.
Mereka yang berintima' dengan aqidah adalah mereka yang benar-benar yakin dan insyaallah terus kukuh dalam perjuangan Islam untuk "mengabdikan diri kepada Allah dan menentang taghut dan kesesatan".
Wallahua'lam. (sekiranya penulis ada melakukan kesalahan dan para pembaca menyedarinya, sila tegur di laman facebook atau boleh emailkan kepada rijaludeen@gmail.com) ^_^
No comments:
Post a Comment