Monday, April 25, 2011

KONSEP BAI'AH DALAM ISLAM (BAHAGIAN PERTAMA)



بسم الله الرحمن الرحيم

Semoga Allah merahmati tetamu blog ini. Pada entry blog kali ini, ingin saya kongsikan sedikit pandangan dan ilmu yang saya dapat dalam cabang Siyasah Syar’iyyah iaitu bab Fiqh Al-Haraki. Tajuk pada kali ini ialah Konsep Bai’ah dalam Islam. Perkongsian tentang Konsep Baiah ini akan saya bahagikan kepada dua bahagian insyaallah, kerana huraian tentang konsep ini sangatlah panjang.

DALIL NAQLI TENTANG BAI’AH

Firman Allah dalam Al-Quran :

10. Sesungguhnya orang-orang Yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad, untuk berjuang menentang musuh), mereka Hanya-sanya memberikan pengakuan taat setia kepada Allah; Allah mengawasi keadaan mereka memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa Yang tidak menyempurnakan janji setianya, maka bahaya tidak menyempurnakan itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa Yang menyempurnakan apa Yang telah dijanjikannya kepada Allah, maka Allah akan memberi kepadanya pahala Yang besar. [Al-Fath]


Di bawah ini saya selitkan huraian daripada Kitab Tafsir Jalallain,

(Sesungguhnya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu) iaitu melakukan Bai’atur Ridhwan di Hudaibiyah (sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah) pengertian ini sama dengan makna yang terkandung dalam ayat lainnya, iaitu Firman Allah, "Barang siapa yang menta’ati Rasul, sesungguhnya dia telah menta’ati Allah." (An-Nisa : 80). (Tangan kekuasaan Allah berada di atas tangan mereka) yang berbai’ah kepada Nabi SAW. Maksudnya, bahawa Allah SWT menyaksikan pembai’ahan (proses bai’ah mereka, maka Dia kelak akan memberikan balasan pahala-Nya kepada mereka (maka barang siapa yang melanggar janjinya) yakni merosakkan bai’ahnya (maka sesungguhnya dia hanya melanggar) kerana itu akibat dari pelanggarannya akan menimpa (dirinya sendiri dan barang siapa menepati janjinya kepada Allah maka Allah akan memberinya) dapat dibaca Fasaya`tiihi (mufrad) atau Fasanu`tiihi (jama’), kalau dibaca Fasanu`tihi ertinya, Kami akan memberinya (pahala yang besar). [Surah Al-Fath : Ayat 10]

Asbabun Nuzul (sebab diturunkan) ayat ini ialah ketika berlakunya Peristiwa Bai’atur Ridhwan sebelum termetrainya Perjanjian Hudaibiyah. Konsep Bai’ah dalam Islam dirujuk sumbernya ketika zaman Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasalam  (SAW) melalui kajian sirah oleh para ulama’. Salah satu peristiwa yang paling jelas menunjukkan wujudnya Konsep Bai’ah dalam Islam ialah ketika berlakunya Peristiwa Perjanjian ‘Aqobah yang pertama dan Perjanjian ‘Aqobah yang kedua.

PENGERTIAN BAI’AH

Secara umumnya, bai’ah merupakan janji setia yang dilakukan oleh seseorang atau sekumpulan muslim yang ingin memberikan taat setia kepada Allah (melalui wasilah pimpinan mahupun gerakan) untuk memperjuangkan Islam. Bai’ah dalam bahasa Melayu boleh disebut sebagai Sumpah Setia atau Aku Janji.

Manakala, dalam bahasa Inggeris disebut sebagai Agreement. Daripada suatu konsep asas iaitu Bai’ah, ianya telah berkembang dan digunakan dalam pelbagai keadaan seperti perniagaan, muamalah, pengurusan organisasi dan sebagainya.

BAI’AH MANUSIA KEPADA ALLAH KETIKA DI ALAM ROH

Sebelum manusia diciptakan di muka bumi ini, Allah telah mengumpulkan semua roh-roh lalu berkata “Bukankah Aku (Allah) merupakan Tuhanmu?”. Maka, ketika itu semua roh-roh mengaku dengan berkata “Benar, Engkaulah (Allah) adalah tuhan kami, dan kami menjadi saksi keatasnya (yakni apa yang diakui roh-roh itu). Peristiwa ini telah dirakankan dalam Al-Quran Surah Al-A’raf Ayat 172 yang berbunyi;

172. Dan (ingatlah Wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil ia bertanya Dengan firmanNya): "Bukankah Aku Tuhan kamu?" mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), Kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya Kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini".

Berdasarkan terjemahan secara ringkas diatas, dapat kita ambil iktibar tentang syahadah iaitulah Bai’ah kepada Allah yang telah kita lafazkan di alam roh dahulu. Sambungan ayat di bawah adalah peringatan Allah yang turut dirakamkan dalam Al-Quran. Ayat dari surah yang sama iaitu Surah Al-A’raf, Allah memberikan amaran kepada manusia yang disifatkan sebagai “ghafilin” dalam ayat diatas dan “ghafilun” dalam ayat di bawah.

Firman Allah SWT :

179. Dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia Yang mempunyai hati (Tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan Yang mempunyai mata (Tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan Yang mempunyai telinga (Tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang Yang lalai.

Semoga Allah memelihara kita semua dari sifat (Al-Ghaflah) iaitu sifat lalai. Mohon maaf atas segala kekurangan. Jika terdapat kesalahan atau kesilapan, mohon teguran dari semua. Insyaallah bersambung pada entry yang kedua. Yang baik datang dari Allah, yang lemah datang dari diri yang hina ini. Sekian, Wasalam.

No comments:

Post a Comment