Sunday, July 31, 2011

Perutusan Ramadhan Presiden MPMKUIS

Assalamualaikum warahmatullah. Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji-pujian hanya bagi Allah Tuhan sekalian makhluk dan alam. Selawat dan salam keatas junjungan besar Nabi Muhammad Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam serta ahli keluarga baginda. Tidak lupa juga, sama-sama kita doakan kesejahteraan keatas sahabat-sahabat baginda, para tabi’in dan pelapis tabi’in serta alim ulama’ dari zaman dahulu hingga sekarang. Begitu juga buat para pejuang Islam di seluruh dunia serta umat Islam, sama ada yang masih hidup ataupun telah kembali kepada rahmat Allah, insyaallah.

Firman Allah Subbahanahu wa ta’ala:


Terjemahan yang dirujuk kepada kitab Tafsir Jalalain: Sesungguhnya orang-orang lelaki dan perempuan yang Muslim, dan orang-orang lelaki dan perempuan yang Mukmin, dan orang-orang lelaki dan perempuan yang tetap dalam ketaaatan, dan orang-orang lelaki dan perempuan yang benar dalam keimanannya, dan orang-orang lelaki dan perempuan yang sabar dalam menjalankan ketaatan, dan orang-orang lelaki dan perempuan yang khusyuk merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki dan perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki dan perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya dari hal-hal yang diharamkan Allah, dan orang-orang lelaki dan perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan (dari perbuatan maksiat yang pernah mereka lakukan) dan pahala yang besar (bagi amal ketaatan mereka). (Surah Al-Ahzab : Ayat 35)

Para alim ulama, ustaz-ustazah dan sahabat-sahabat yang dirahmati Allah, ayuh sama-sama kita renung sebentar kalam Ilahi diatas. Allah Rabbul Jalil telah memulakan firmannya dengan perkataan “inna” yang bermaksud “sesungguhnya” menunjukkan satu penekanan (taukid dalam bahasa Arab) tentang apa yang akan disebutkan olehNya. Dalam ayat tersebut, dapat dilihat 10 ciri-ciri orang yang disebut oleh Allah akan mendapat dua perkara yang paling diidamkan oleh semua makhlukNya iaitu KEAMPUNAN dan PAHALA YANG BESAR. Salah satu yang sebutkan oleh Allah ialah golongan mereka yang berpuasa. Semoga kita termasuk dalam golongan yang disebutkan oleh Allah dalam Al-Quran.

Sempena bulan Ramadhan tahun ke 1432 Hijrah yang bakal kita tempuhi beberapa detik dari sekarang, saya mewakili sahabat-sahabat barisan kepimpinan Majlis Perwakilan Mahasiswa Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (MPMKUIS) ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak. Pihak MPMKUIS mendoakan semua warga KUIS khususnya para pensyarah dan mahasiswa mahasiswi serta seluruh masyarakat Islam dapat mengekstrak segenap peluang yang dibuka Allah kepada kita. Ayuhlah kita melarutkan diri dalam Kem Tarbiyah Ramadhan yang merupakan peruntukan waktu yang paling sesuai untuk merubah diri menjadi lebih baik, insyaallah.

Akhir kata, saya mewakili MPMKUIS memohon jutaan kemaafan dari semua pihak jika ada apa-apa kesilapan yang pihak kami lakukan. Segala yang baik hanya datang dari Allah, yang lemah dan buruk datang dari kelemahan diri saya yang hina ini. Semoga limpah kurnia rahmat Allah diberi kepada semua umat Islam. Sekian, wasalamualaikum warahmatullah.

Dikarang oleh,
Al-Haqir Al-Faqir ilallah Mohamad Rijaludeen bin Mohamad Anwar.

No comments:

Post a Comment